4 Perkara Paling Berharga Dalam Diri Manusia..



Ada empat macam yang berharga dalam diri manusia dan ia boleh hilang dengan empat sebab. Adapun yang berharga itu ialah akal, agama, malu dan amal soleh. Maka akal boleh hilang disebabkan marah. Agama boleh hilang disebabkan dengki. Malu boleh hilang disebabkan tamak dan amal soleh boleh terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain.

 1) Akal fikiran
Pertama sekali adalah akal fikiran manusia, akal adalah satu anugerah Allah yang paling berharga kepada hambanya yang bernama manusia. Akal adalah satu amanah yang besar dari Allah kepada manusia. Akal jugalah yang membezakan antara manusia dengan makhluk-makhluk Allah yang lainnya. Akal fikiran digunakan untuk membezakan antara kebaikan dan juga keburukan.
Musuh kepada akal adalah nafsu. Kedua-duanya saling berlawanan antara satu sama lain. Akal boleh hilang disebabkan nafsu marah. Sebab itulah bila anda melihat orang yang sedang marah ni seolah-olah mereka tidak dapat berfikir panjang apa yang mereka lakukan. Kadang-kadang sampai bergaduh, mencaci, membunuh dan banyak lagi. Ini kerana dalam diri mereka telah dikawal oleh nafsu marah tersebut.

2) Agama Islam
Agama Islam adalah agama yang paling sempurna kebenarannya. Selagi seorang manusia itu berpegang kepada agama islam yang sebenarnya maka mereka tidak akan sesat selamanya dan mereka akan terus bahagia di dunia ini dan juga akhirat kelak. Di akhirat nanti didalam syurga adalah jaminannya. Kita hendaklah mengamalkan setiap ajaran islam dengan sebenar-benarnya dalam kehidupan kita seharian.Janganlah sama sekali ada sifat dengki dalam diri kita kerana ia boleh membuatkan kita benci kepada orang lain dan orang lain juga akan membenci kita. Kalau setiap dari kita umat islam saling dengki-mendengki antara satu sama lain dan tidak bersatu maka akan hancurlah agama islam ini.


   3) Perasaan malu
Sifat malu adalah satu sifat yang sangat mulia. Kerana malu itu sendiri adalah separuh daripada iman. Sifat malu dalam islam adalah malu kepada Allah. Seorang hamba itu hendaklah malu untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah. Ini kerana kita sebagai hamba telah diberikan banyak nikmat oleh Allah tapi kita pula banyak melakukan dosa-dosa kepadaNya. Kita sepatutnya berasa malu.Sifat tamak boleh menghilangkan perasaan malu seorang hamba itu kepada Allah. Ini kerana apabila seorang hamba itu menjadi tamak dalam mengejar kehidupan dunia seperti mengumpul harta kekayaan, mengejar pangkat dan kedudukan maka mereka menjadi lupa kepada Allah. Ramai orang yang terlalu menyintai dunia kerana terlalu tamak dan melupakan Allah dan hari akhirat. Islam tidak melarang umatnya mengumpul kekayaan tapi jangan sampai lupa untuk membawa bekalan takwa menuju hari akhirat nanti.

4) Amal soleh
Sebagai seorang hamba yang taat hendaklah kita banyak melakukan amal soleh kepada Allah. Amal soleh yang kita lakukan juga hendaklah ikhlas kepadaNya. Disamping menjaga hubungan kita dengan Allah, hubungan kita sesama makhluknya juga perlu dijaga. Janganlah kita dekat dengan Allah dengan banyak melakukan beramal soleh tapi hubungan dengan manusia pula menjadi jauh.Perbuatan menceritakan keburukan orang lain adalah sangat dilarang sama sekali dalam islam. Kita hendaklah menjaga keburukan orang lain sama seperti kita menjaga keburukan diri sendiri. Kesalahan atau keburukan orang lain hendaklah dihormati demi menjaga hubungan kita sesama islam. Walaupun orang itu salah kita hendaklah menegurnya secara baik. Bukannya dengan menceritakan keburukannya kepada orang lain.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menghargai empat perkara yang berharga ini dalam kehidupan kita. Kita sepatut bersyukur kerana dikurniakan nikmat yang sangat berharga kepada kita ini. Tanpa empat perkara yang sangat berharga ini kehidupan kita tidak akan bermakna di dunia mahupun di akhirat.


No comments:

Post a Comment